top of page

SINGGAH SAHUR UUM MENYANTUNI MAHASISWA

Oleh: Nur Khairunnisa Binti Sohaizad

Emel: Krhnnsa19@yahoo.com

EDITORIAL.CR2

SINTOK - Bulan Ramadhan yang penuh barakah yang lalu, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia telah menganjurkan program besar iaitu Projek Amal Ramadhan berlangsung sepanjang bulan April.

​

Dalam projek tersebut, terdapat enam (6) subprogram dan salah satunya adalah Kaseh Ramadhan iaitu pemberian juadah bersahur kepada para mahasiswa. Secara amnya, program ini disertai oleh 47 sekretariat termasuk 5 orang Majlis Tertinggi program yang juga terdiri daripada Eksekutif Kesukarelawanan dan Eksekutif Sahsiah dan Moral. Projek ini juga adalah kolaborasi antara Majlis Perwakilan Pelajar dan Pusat Islam dan Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSD). 

​

Program Kaseh Ramadhan ini dilaksanakan bagi meraikan kepulangan pelajar pada semester ini setelah sekian lama tidak pulang dan merasai suasana berpuasa di kampus. Selain itu, penglibatan penuh MPP dan Sekretariat MPP secara tidak langsung merapatkan lagi silaturrahim dan menyantuni mahasiswa. 

​

Program ini telah berlangsung selama 2 fasa iaitu pada 12 April dan juga 18 April. Sebanyak 400 pek makanan yang diperuntukkan bagi setiap fasa. Antara Inapan Siswa yang terlibat adalah Inasis SME Bank,Inasis Bank Rakyat,Inasis YMU dan Inasis Malten. Edaran pek makanan dijalankan seawal jam 4 pagi. Hal ini untuk memudahkan para pelajar mendapatkan juadah sahur mereka tanpa perlu membeli diluar.

​

Menurut Pengarah Program iaitu Anis Nadira Tarmizi, selain memenuhi Sustainable Development Goals Zero Hunger iaitu memberi keperluan asas seperti makanan dan minuman kepada pelajar B40. Pihak MPP ingin membantu meringankan beban pelajar yang tidak berkemampuan membeli makanan dan minuman sewaktu bulan puasa bagi memastikan mereka mendapat makanan yang secukupnya.

​

Tambahan lagi, pemberiaan juadah sahur tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan. Hasilnya, pek makanan yang disediakan teragih dengan sangat pantas.

​

Menurut Haiman Syamil, dia mengucapkan ribuan terima kasih kepada pelaksana program kerana mengagihkan juadah bersahur yang sememangnya memudahkan para pelajar. Dia juga akui bahawa program seperti ini perlu dilaksanakan secara tahunan kerana ia dapat merapatkan ukhwah antara mahasiswa dan Majlis Perwakilan Pelajar.

​

Beliau berkata lagi, “harapan saya sebagai pengarah program ini ialah saya berharap dapat menganjurkan program sebegini lagi di masa akan datang. Hal ini kerana, saya ingin mencapai visi dan misi projek amal Ramadhan ini iaitu mengurangkan kadar ketidakmampuan pelajar dalam meneruskan hidup dari aspek keperluan asas dan merapatkan hubungan yang baik dengan semua pelajar UUM”.

Picture4.png

Ahli Jawatankuasa Kaseh Ramadhan sedang mengagihkan makanan di sekitar Inapan Siswa terpilih

AGIHAN KASIH PROWINS 2022

Oleh : Piriya Tharshini a/p Raja

Email: priyatharshiniraja31@gmail.com

PIRIYA.PNG

SINTOK – Agihan Kasih Prowins merupakan satu program yang dijalankan oleh Learning Hub kerjasama dengan Biro Kerohanian dan Sahsiah serta Biro Kebajikan dan Keselamatan Inasis Prowins. Pada 19 April 2022 bersamaan dengan 17 Ramadan 1443, keluarga Inasis Prowins yang terdiri daripada Jawantankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS), Residen Siswa (RS) dan staff Inasis Prowins telah bekerjasama memasak dan membuat agihan bubur lambuk kepada para pelajar dan staff Inasis Prowins serta petugas barisan hadapan UUM.

​

Menurut Pengarah Program Agihan Kasih Prowins 2022, Muhammad Iskandar Bin Ahmad yang juga merupakan pelajar semester 4 Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan mengatakan bahawa program ini diadakan bertujuan untuk menghargai jasa petugas barisan hadapan UUM yang terdiri daripada staff Jabatan Keselamatan dan juga Pusat Kesihatan Universiti. “Ini juga mampu menjalinkan hubungan yang baik antara warga Inasis Prowins dengan warga inasis serta jabatan utama lain di UUM”, tambah beliau lagi.

​

Semua pelajar Inasis Proton dan Tradewinds dijemput untuk mengambil bubur lambuk yang diedarkan bermula jam 1.00 tengah hari bertempatkan di Kafe Subaidah, Dewan Semarak Budi dan Galeri Proton masing-masing. Ahli-ahli JKPS dan staff Inasis Prowins telah sampai ke kawasan lapang di hadapan Pejabat Inasis Tradewinds berhampiran seawal jam 7.30 pagi untuk membuat persediaan dan memasak bubur lambuk untuk diedarkan kemudian.

​

Dengan kerjasama semua ahli JKPS dan staff Inasis Prowins, penyediaan bubur lambuk sebanyak 3 periuk telah berjaya diselesaikan sekitar jam 12.00 tengah hari. Kemudian dibungkus dan diedarkan dalam bekas kepada pelajar dan jabatan dalam UUM bermula jam 1.00 tengah hari.

​

Iskandar juga berkata, “Sebanyak lebih 700 bekas bubur telah mampu kami sediakan untuk diedarkan kepada kakitangan UUM dan pelajar Inasis Prowins. Bukan itu sahaja, kami juga telah mampu mengedarkan bubur lambuk yang disediakan kepada Naib Canselor, Dekan, Pengarah Hal-Ehwal Pelajar (HEP), Majlis Pengetua, Pusat Alumni dan pegawai barisan hadapan UUM yang lain.”

​

Penolong Pengetua Inasis Prowins, Ustaz Fauzan pula meluahkan perasaan terujanya dengan mengatakan bahawa semua kelurga Prowins yang terdiri daripada JKPS, Residen Siswa dan staff sama-sama turun padang awal pagi dengan penuh semangat bagi menjayakan program ini.

​

Beliau juga berhasrat untuk menggalakkan program sebegini untuk diadakan pada setiap tahun terutamanya pada musim perayaan. Sememangnya, umat Islam didorong untuk melakukan amal kebaikan seperti menderma pada bulan Ramadan dan ini dijadikan sebagai pencetus idea bagi mengedarkan bubur lambuk kepada pelajar dan kakitangan UUM yang terdiri daripada pelbagai kaum.

​

Selain itu, apabila semua pihak bekerjasama melakukan program ini bukan sahaja dapat memudahkan proses penghasilan dan pengagihan bubur lambuk namun mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara satu sama lain. Sambutan dan galakan dalam kalangan pelajar juga amat memberangsangkan sepanjang pelaksanaan program ini.

​

Pelajar yang bernama Nur Hasanah Binti Ruzwen Zam pelajar Sarjana Muda Komunikasi semester 4 yang menetap di  Inasis Tradewinds blok B juga meluahkan perasaan syukur kerana dapat menikmati bubur lambuk udang dan daging yang lazat ketika berbuka puasa nanti manakala ada juga kawan-kawan bukan muslim yang lain dapat merasakan bubur lambuk buat pertama kali.

​

Walaupun program ini dilaksanakan untuk tempoh satu hari namun ramai pelajar serta kakitangan UUM dapat menikmati kerberkatan rezeki yang disampaikan itu. Kerjasama daripada pelbagai pihak bukan sahaja mengeratkan hubungan antara satu sama lain namun dapat memupuk semangat perpaduan antara pelajar yang berlainan kaum.

​

Ustaz Fauzan mengulas bahawa ramai kakitangan dan pelajar UUM juga berhasrat agar memperbanyakkan lagi program-program sebegini yang mampu memupuk amalan bersedekah serta menderma dalam kalangan generasi muda. Terutamanya pada bulan Ramadan umat Islam sememangnya digalakkan untuk melakukan perbuatan yang baik bukan sahaja kepada diri dan keluarga namun kepada masyarakat sekitar yang mampu mendapat pahala berganda daripada Allah s.w.t.

​

Iskandar selaku presiden program ini juga menegaskan bahawa Program Agihan Kasih ini perlu diulang agar dapat menguatkan lagi ukhwah antara pelajar UUM tidak kira bangsa dan kaum. Selain itu, dapat menambahkan lagi nilai-nilai murni dalam diri setiap pelajar. 

Pihak atasan dari jabatan-jabatan utama UUM amat berterima kasih atas inisiatif yang diambil oleh JKPS serta staff Inasis Prowins yang sudi meluangkan masa dan wang bagi menyediakan bubur lambuk secara percuma kepada kakitangan dan pelajar walaupun dalam kuantiti yang terhad. Program sebegini amat disokong agar dapat dijalankan di inasis-inasis lain di UUM juga.

Picture5.jpg

Pengarah Program Agihan Kasih mengedarkan bubur lambuk kepada kakitangan UUM.

bottom of page