top of page

HARI SUKAN INASIS TaG

Oleh: Aqram Umar Raja’ie Bin Ariffin

E-mel: aqramumar79@gmail.com

EDITORIAL.CR2
aqram sosmed.jpg

SINTOK - Inapan siswa (inasis) TaG yang terdiri daripada gabungan inasis TM dan inasis Grantt telah menganjurkan program hari sukan inasis yang bernama “TaG Sports Day”. Hari sukan TaG berlangsung selama tiga hari.

​

Pengetua Inasis TaG, Encik Hapisol Bin Othman berkata, program kejohanan hari sukan ini dilakukan bagi menyambut kepulangan semula mahasiswa dan mahasiswi ke kampus di Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini. Selain itu, acara ini bertujuan untuk mencari wakil atlet inasis TaG bagi mengharungi Sukan UUM ataupun SUKUUM pada masa akan datang.

​

“Sudah lama kita tidak merasa suasana hari sukan di UUM kerana wabak pandemik Covid-19. Saya berasa dengan kepulangan semula pelajar-pelajar UUM ke kampus dapat memeriahkan lagi TaG Sports Day bagi edisi kali ini,” ujarnya dalam sesi temu-ramah.

​

Hari sukan TaG dibahagikan kepada tiga kejohanan iaitu e-sukan pada 17 Mei, sukan fizikal pada 20 Mei dan open mic serta majlis penutupan hari sukan TaG pada 21 Mei. Yuran bagi hari sukan TaG ialah RM8 dan merit akan diberikan buat para peserta.

​

Terdapat 13 aktiviti pertandingan yang telah dilaksanakan ketika hari sukan ini seperti tarik tali, bola beracun, futsal, ping pong, sepak takraw, bola baling, bola tampar, bola jaring, explore race, permainan video dan sesi open mic. 

​

Menurut pengarah program, Syaif Izlan, tema hari sukan TaG bertemakan anime ataupun kartun Jepun bagi memberikan kelainan dan menarik minat golongan mahasiswa dan mahasiswi untuk menyertai programnya. Keempat-empat rumah sukan yang berwarna merah, biru, hijau dan kuning mempunyai maskot anime yang tersendiri seperti Monkey D. Luffy, Son Goku, Kamado Tanjiro dan Pikachu.

​

“Populariti anime yang sedang berkembang di kalangan rakyat Malaysia, khususnya golongan muda, telah menarik minat kami untuk bersetuju memilih tema anime sebagai tema bagi TaG Sports Day pada edisi kali ini. Dengan keunikan ini, sudah tentu dapat mempromosikan dan meningkatkan imej inasis TaG,” katanya.

​

Seramai 400 orang peserta rumah sukan dan 85 orang ahli jawatankuasa telah berminat untuk menyertai kejohanan hari sukan ini.

 

TaG Sports Day (17 Mei 2022)

​

Inasis TaG menganjurkan kejohanan e-sukan atau permainan video yang dilangsungkan selama tiga jam bermula pada jam 8.00 malam hingga 11.00 malam di Dewan TM. Antara pertandingan permainan video yang telah dianjurkan ialah Mobile Legends, PUBG dan FIFA.

​

Seorang peserta e-sukan, Hakam Syukur berkata, e-sukan ini merupakan kejohanan yang popular serta amat menyeronokkan dan mampu menghilangkan stres pelajar yang dialami ketika berada di kampus. 

​

“Saya begitu teruja bermain permainan video seperti FIFA kerana ia amat berbeza dengan permainan fizikal dan kita tidak perlu menggunakan tenaga untuk bermain,” katanya.

 

TaG Sports Day (20 Mei 2022)

​

Pada hari kedua, hari sukan TaG bermula pada jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Antara kejohanan sukan fizikal yang diadakan ialah tarik tali, bola beracun, futsal, ping pong, sepak takraw, bola baling, bola tampar, bola jaring, dan explore race.

​

Kejohanan sukan fizikal dibahagikan kepada tiga kategori iaitu kategori lelaki, kategori perempuan dan kategori campuran.Terdapat tujuh sukan fizikal yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori lelaki dan perempuan. Manakala, hanya sukan bola jaring sahaja dibenarkan dalam satu kategori iaitu kategori perempuan dan explore race diadakan dalam kategori campuran.

​

Seorang mahasiswi, Ainatul Mardhiyah berkata, walaupun tangannya berasa sakit dan lenguh selepas bermain dalam pertandingan tarik tali, dia tetap berasa berpuas hati dengan suasana yang meriah dan pengurusan acara yang sistematik.

​

Sementara itu, Nurazim Zamri berkata, suasana hari sukan di peringkat universiti begitu berbeza dengan suasana hari sukan ketika di peringkat sekolah.

​

“TaG Sports Day di UUM mempunyai kemudahan fasiliti yang lengkap seperti kemudahan tandas, surau, kafeteria dan gelanggang permainan untuk acara sukan yang dipertandingkan. Makanan dan minuman turut disediakan kepada kami,” katanya. 


 

TaG Sports Day (21 Mei 2022)

​

Majlis penutupan hari sukan TaG dan pertandingan open mic pada hari ketiga bermula jam 9.00 malam hingga 11.30 malam. Antara tetamu kehormat yang hadir pada malam tersebut ialah Pengetua Inasis TaG, Encik Hapisol Bin Othman, Timbalan Pengetua Inasis TaG, Dr. Noor Hafiza Binti Zakariya dan Pengarah Pusat Budaya & Seni, Cik Asmawiza Haji Hussin, Hadir sama Felo Inasis TaG, Encik Mazri sebagai juri bagi pertandingan open mic bersama Dr. Noor Hafiza dan Cik Asmawiza.

​

Pengetua Inasis TaG, Encik Hapisol Bin Othman berkata, beliau teruja melihat kemeriahan sambutan hari sukan TaG ini setelah dua tahun tiada aktiviti program fizikal di UUM. Acara yang dianjurkan juga memudahkan para pelajar menyesuaikan diri dan menghilangkan tekanan yang dialami sewaktu pulang semula ke kampus.

​

Pertandingan open mic mempunyai dua kategori iaitu kategori nyanyian solo dan nyanyian duet. Pemenang bagi kategori solo dimenangi oleh Syazwan Mustaqim dari pasukan rumah merah. Manakala, bagi kategori duet, dimenangi oleh Rossendra Shenna dan Fiona Juani dari pasukan rumah biru.

​

Johan keseluruhan pasukan hari sukan TaG dimenangi oleh pasukan kuning. Manakala, naib johan disandang oleh pasukan merah, tempat ketiga dimenangi oleh pasukan biru dan tempat keempat dimenangi oleh pasukan hijau.

Sukan 1.jpg

Gambar-gambar kejohanan hari sukan TaG

KERJASAMA STRATEGIK UUM - MGJA RANCAKKAN SUKAN GOLF

Oleh: Muhammad Ikhmal Bin Basry 

Emel: basryikhmal@gmail.com

EDITORIAL.CR2
IKHMAL.jpeg

SINTOK - Sukan golf merupakan salah satu sukan yang susah malah tidak diminati ramai. Meskipun ramai yang sudah mencubanya tetapi mereka masih mempunyai kesukaran untuk memukul bola tersebut. Hal ini kerana, sukan golf memerlukan tenaga yang banyak, imaginasi yang tinggi dan juga fokus yang kuat bagi membolehkan seseorang itu mampu untuk bermain sukan ini. Disebabkan kurang orang yang mahu menceburi sukan ini, sukan ini juga tidak dikenali ramai seperti bola sepak, badminton dan lain-lain.

 

Sehubungan dengan itu, kerjasama strategik Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Malaysia Golf Junior Association (MGJA) dilihat berupaya merancakkan industri sukan golf negara. 

 

Universiti Utara Malaysia (UUM) telah ditubuhkan pada 16 Februari 1984. Ia boleh melatih dan melahirkan kumpulan profesional yang sangat diperlukan di masa kini. Selain itu, UUMNGA giat mempromosikan sukan golf kepada kanak-kanak sekolah, pelajar universiti dan belia dengan pelbagai program asas golf. 

 

Bagi mencapai hasrat untuk mengangkat sukan golf dalam kalangan remaja, Malaysia Golf Junior Association (MGJA) telah mengadakan kerjasama dengan UUM untuk bertemu bagi melihat ruang dan peluang dalam mempromosikan sukan golf di kalangan generasi muda. MGJA merupakan sebuah persatuan yang ditubuhkan pada 14 Februari 2022. MGJA berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan Malaysia. Ahli-ahli terdiri daripada pemain-pemain golf profesional, tenaga pengajar berpengalaman dan juga ahli korporat. Mereka diwakili oleh 10 orang Ahli Jawatankuasa. Datuk Seri Irmohizam Ibrahim dilantik selaku presiden persatuan ini. 

 

Antara objektif dan matlamat MGJA ini adalah untuk mempromosikan sukan golf dikalangan generasi muda di Malaysia dan melatih pemain-pemain golf junior secara intensif bagi menyertai kejohanan golf di peringkat antarabangsa.

 

MGJA ini juga mampu membantu pemain-pemain golf junior dalam hala tuju di dalam sukan ini sama ada untuk menjadi pemain golf amatur atau profesional. MGJA juga berhasrat untuk menubuhkan akademi golf di setiap negeri bagi membantu generasi muda mempelajari sukan golf dengan lebih efektif. 

 

Selain itu, MGJA menyediakan program untuk mengasah bakat mereka hingga peringkat antarabangsa melalui kolaborasi latihan dengan institusi pengajian awam dan swasta.

 

PENDEDAHAN AWAL

 

Presiden MGJA, Dato Seri Irmohizam Ibrahim berkata, sukan golf merupakan sukan yang terkenal di dunia. Terdapat pemain terbaik di dunia yang telah menjadi pemain profesional seawal umur 16 tahun. Melalui inisiatif yang dibuat oleh persatuan MGJA, diharapkan pemain golf negara yang terbaik dapat dilahirkan di dunia pada masa hadapan. 

 

Malaysia Golf Junior Association (MGJA) yang berpusat di Driving Range Monterez Golf & Country Club menyediakan kemudahan dari peringkat awal hingga ke peringkat antarabangsa. 

 

Di sini terdapat pusat latihan golf yang mempunyai padang golf, gimnasium, akademi golf junior dan pusat perbaikan peralatan golf. Dengan adanya kemudahan fasiliti ini, pemain akan terdedah dengan sukan ini dari asas sehinggalah mampu menjadi pemain golf professional.

 

PERANCANGAN JANGKA MASA PENDEK 3-5 TAHUN

 

 Irmohizam Ibrahim berkata, perancangan jangka masa pendek ini adalah untuk melatih pemain-pemain untuk menyertai kejohanan golf di negara-negara Asia seperti Junior Development Tour Thailand, Junior Golf Tour Asia, Indonesia Junior Golf Tour dan juga Callaway Golf Future Championship.

 

“Membangunkan aplikasi Malaysia Junior Ranking bagi menyimpan data dan maklumat pemain- pemain golf junior di Malaysia,” katanya.

 

“MGJA membawa masuk perlawanan golf junior antarabangsa ke Malaysia dan juga menaja pemain-pemain golf junior unturk menyertai kejohanan antarabangsa. MGJA juga mensasarkan agar 10 pemain dari Persatuan untuk menjadi pemain golf professional ,” ujar beliau lagi.

​

PERANCANGAN JANGKA MASA PANJANG 5-10 TAHUN

 

Bagi perancangan jangka masa panjang, MGJA berhasrat untuk menyediakan pusat latihan golf berprestasi tinggi di Malaysia. Ini selaras dengan hasrat memastikan Malaysia boleh menjadi hos bagi tiga kejohanan golf junior antarabangsa setiap tahun. 

 

“MGJA akan membangunkan lebih ramai pemain golf profesional dan memenangi kejohanan golf antarabangsa. Presiden MGJA percaya yang beliau mampu membawa sukan golf Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi di masa akan datang,” katanya lagi.

 

Menurut Naib Canselor UUM, Prof Dr Haim Hilman Abdullah, UUM harus berusaha bersungguh-sungguh memainkan peranan agar dapat bersama-sama melakar kejayaan memandangkan UUM memiliki padang golf yang boleh dijadikan lapangan praktikal dan latihan untuk pelajar Akademi Golf Nasional UUM. “Kita mempunyai seramai 30,000 pelajar dan merupakan satu jumlah yang cukup besar di mana mereka boleh menjadi sebahagian pendokong agenda ini dan dengan kewujudan AGN pelajar turut mendapat manfaat,” katanya.

 

“UUM mempunyai ekosistem yang begitu cantik jadi kita kena bina ekosistem bukan hanya di Lembah Klang tetapi di seluruh Malaysia dan menerusi kolaborasi ini dapat membuka peluang yang bakal memanfaatkan negara,” tambahnya.

Sukan 2.jpg

Presiden MGJA, Dato Seri Irmohizam

E-SPORT MULA MENAPAK DI UUM

Oleh: Umi Nadiah Binti Abbas

Emel: uminadiaha@gmail.com

EDITORIAL.CR2
umi nadiah.jpg

SINTOK - E-Sport, juga dikenali sebagai sukan elektronik merupakan sebuah pertandingan yang menggunakan permainan video. Sama seperti sukan yang lain, setiap pasukan terdiri daripada lima orang akan berlawan untuk mendapatkan hadiah atau ganjaran wang tunai serta mempertahankan kedudukan mereka di peringkat dunia. 

​

Bermula pada tahun 1990-an, hobi bermain permainan video telah diangkat sebagai sebuah sukan professional yang lebih teratur. Pertandingan E-sport yang pertama kali diadakan ialah pada tahun 1972 di Universiti Stanford, pemenang menerima langganan majalah Rolling Stone selama setahun. 

​

Pada peringkat Asia, sukan elektronik pertama telah ‘debut’ di Sukan Asia Tenggara 2019 (Southeast Asian Games). Malaysia juga menghantar wakil pasukan ke termasya tersebut dan mendapat gangsa bagi kategori Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) selepas tewas dengan tuan rumah, Filipina. 

​

Manakala pada September 2022, E-sport akan membuat penampilan sulungnya di Sukan Asia 2022 (Asian Games) yang bertempat di Hangzhou, China. 

​

Di Amerika Syarikat, lebih 600 kolej serta universiti menambah pasukan E-sport dalam kalangan pelajar mereka yang minat dengan sukan ini. Begitu juga di Universiti Utara Malaysia (UUM), di mana E-sport mula menapak dalam kalangan pelajar. 

​

UUM berjaya menubuhkan kelab E-sport UUM yang berpusat di Pusat Sukan. Awal penubuhannya, dua orang pelajar yang dikenali sebagai Azri dan Ahlam telah memajukan idea dan membawa minat pelajar dalam E-sport untuk diiktiraf oleh pihak universiti. 

Dengan sokongan daripada pusat sukan, pada tahun 2019 kelab E-sport UUM terbentuk dan mendapat sebuah bilik khas di pusat sukan untuk kegunaan pemain dan ahli pasukan dari kelab tersebut. 

​

Studio berkenan dilengkapi dengan kemudahan seperti skrin hijau, PlayStation 5 (PS5), Televisyen, dan ruangan yang agak besar untuk menjamin keselesaan mereka. UUM telah menjadi universiti pertama di Malaysia yang mempunyai studio yang lengkap dengan fasiliti terbaik. 

​

Kelab ini sering menganjurkan kejohanan E-sport antaranya, “Sanhok Green Day” bagi kategori PUBG, “Gamers Prihatin” (MLBB dan PUBG), “Tournament Amal E-sport Kanser Prihatin” (MLBB dan Magic Chess), serta “Vikendi Winter Day” (PUBG). 

​

Selain itu, program lain yang bukan berunsurkan kejohanan seperti ceramah, perkongsian motivasi dan pertandingan membuat poster turut dianjurkan. 

​

Sewaktu awal penubuhan kelab, ahli yang berdaftar lebih kurang 100 orang, bilangan ahli baru yang mendaftar semasa Hope day kali ini ialah seramai 36 orang. Staff yang bertugas sebagai penyelia kelab, Encik Iswandi Bin Abdul Wahab. Manakala di bawah organisasi kelab terdapat seramai 25 orang exco termasuk Majlis Tertinggi.

​

Setakat ini kelab E-sport UUM mendapat pingat gangsa di MASUM (Majlis Sukan Universiti Malaysia) bagi kategori Fifa dan MLBB. Bukan itu sahaja, 2 atlet mereka iaitu Muhammad Afiq dan Ahmad Danial terpilih menandatangani perjanjian Bersama pasukan E-sport KDA FC musim 2022, pada 15 April yang lalu. 

​

Malah, 2 pemain ini turut dipilih bagi mewakili pasukan berkenaan dalam saingan e-MFL 2022 (kejohanan liga bola sepak elektronik) yang akan berlangsung tidak lama lagi. 

​

Presiden Kelab E-sport UUM, Ahmad Danial bin Mohd Fakhrudin berkata, dengan kemudahan yang diberikan seperti studio E-sport, tiada halangan untuk pelajar mencapai kemenangan di kejohanan malah dapat pergi jauh sehingga peringkat antarabangsa. 

​

Beliau juga memberi pesanan, “Mereka hanya perlu berlatih dan pandai untuk membahagi masa pelajaran dan bermain E-sport. Saya juga mengharapkan komuniti di UUM akan lebih besar pada masa akan datang supaya lebih senang mendapat peserta untuk sebarang pertandingan.”

​

Ahmad Danial juga merupakan salah seorang pemain yang berjaya menandatangani perjanjian bersama pasukan E-sport KDA FC.

​

Saban hari, kelab E-sport UUM semakin mendapat perhatian dari pelajar dan beberapa pihak luar yang ingin bekerjasama. Penubuhannya telah menjadikan E-sport suatu sukan yang terunggul di UUM dan memberi peluang kepada pelajar untuk terus dengan minat dan bakat dalam diri mereka. 

Sukan 3.jpg

Majlis menandatangani perjanjian bersama Pasukan E-Sport KDA FC. Gambar menunjukkan 2 pemain yang dipilih bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Haji Ali

bottom of page